Posted by: saripahbakar | June 20, 2011

Memulakan kembali….

Lama betul rumah ini terbiar, tak berjaga.  Idea menimbun-nimbun dalam kepala, tapi penyakit M dan masalah internet connection yang lemah gemalai membuatkan idea-idea itu hilang begitu sahaja.

Idea hendak menghidupkan kembali blog ini timbul bila sudah mula rasa jemu dengan ‘muka buku’.  RAsanya hendak ditutup saja akaun fb, tapi memandangkan ramai rakan-rakan yang aktif di sana, tak mengapalah.  Sesekali boleh menjengah melepas rindu…

Pelbagai perkara hendak dikongsi bersama – idea, hobi terkini, permasalahan semasa, koleksi buku, ulasan buku dan yang pastinya resepi masakan yang tidak boleh dipisahkan dari saya (setakat ini sudah hampir penuh 3 buku nota bertulis resepi yang disalin dari tv selain dari koleksi buku-buku resepi dan majalah).

Rumah sudah ‘dibersihkan’.  ‘Perabot’ dan ‘perhiasan’ akan menyusul kemudian…

***terkial-kial hendak memulakan kembali sesuatu yang sudah begitu lama ditinggalkan.  Entah berapa kali entry ini di edit…begitu jugalah dengan bidang penulisan novel dan skrip yang dah lama juga ditinggalkan…moga Allah swt memudahkan perjalanan ‘kemba

Posted by: saripahbakar | May 6, 2009

Ketika Mula Menulis Dalam Kehadiran Sofiah

the-peak-of-pine-tree1Bukan mudah sebenarnya – mula menulis kisah inspirasi yang berkaitan besar dengan diri sendiri. Ketika itu ada rasa yang membuak – ratap yang tidak kedengaran apabila melihat dan merasai sendiri nasib OKU yang sentiasa dekat. Malah hingga takat mahu menghadiahkan naskah novel Dalam Kehadiran Sofiah (DKS) kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat apabila siap kelak. Novel DKS bermula dengan sebuah cerpen – kisah bercuti sekeluarga ke Bukit Fraser yang indah tetapi diwarnai dengan kerenah Sofiah seperti selalu. Merasai pandangan sisi lain dari orang sekeliling dan kesibukan suami menyiapkan novelnya yang memenangi hadiah saguhati Sayembara Menulis Novel Sempena Jubli Emas DBP – ‘Kabus di Perbukitan.’
Keluarga kami memang sangat serasi dengan tanah tinggi. Mulanya memilih tinggal di Kuala Kubu Bharu yang hijau dan nyaman – dengan hembusan angin dingin dari perbukitan, sesuai dengan namanya, KKB – kiri kanan bukit. Ketika itu hampir setiap kali berpeluang, kami akan ke Bukit Freaser. Menginap di banglo lama, yang sunyi dan jauh. Kicau burung migrasi dan laungan siamang yang beralun-alunlah menjadi teman.
Bercuti dengan anak istimewa – OKU ini rapi persediaannya. Makan sejam sebelum bertolak – nati pening dan muntah bila melalui jalan bengkang bengkok. Sentiasa peka dengan raut wajahnya, jika bibir putih pucat – berhentilah dahulu. Beri ruang udara segar untuk dia menyelesakan diri. Paling penting, pampers mesti sentiasa kering. Pampers penuh boleh menyebabkan ruam bila duduk terlalu lama dalam kereta. Dan apabila mendesak menguruskan dirinya – jangan peduli sekeliling – hatta pandangan pada sisi lain. Aku hanya mampu bercerita sependek perenggan ini walhal hakikatnya banyak lagi aksara yang tak mampu ditaip di sini.
Namun setelah novel ini siap dan berada di pasaran, hasrat mahu menghadiahkan senaskah pada menteri terpendam begitu sahaja. Aku fikir, beliau pasti akan mendapatkannya sendiri di kedai-kedai buku. Bukankah menteri sepatutnya membaca?

Posted by: saripahbakar | April 28, 2009

Mencontohi Desperate Housewife

desperate-housewifeDesperate Housewife kalaulah sebuah novel mungkin dikatogerikan sebuah novel popular.  Isunya semasa, plotnya ringkas tentang kehidupan sebuah kawasan perumahan di sebuah jalan dengan watak-wataknya yang empat orang surirumah di jalan itu.  Mungkin sebab itulah kisahnya boleh jadi panjang – bersiri-siri.  Saya pernah diberitahu sebuah penerbitan yang cenderung menerbitkan kisah cinta – mahukan novel dengan mukasurat 450 ke atas.  Aduh, cukup banyak – dan mungkin dengan kisah cinta yang bertele-tele – ia dapat dilakukan.  Tetapi saya mungkin tidak mampu melakukannya.  Tiada kekuatan untuk menulis 450 mukasurat selain takut ayat-ayat akan jadi lewah atau berulang.  Desperate Housewife dapat memanjangkan cerita kerana ramainya watak utama dan rencamnya plot.  Mungkin selepas ini saya akan menulis novel dengan tajuk sebuah pekan mungkin…  Tentu menarik!

Posted by: saripahbakar | July 18, 2007

Masih belajar lagi

Rupanya bukannya mudah dan tidaklah susah untuk membuat blog sendiri.  Masih terkial-kial belajar serba-serbi tentang dunia teknologi yang semakin canggih ini.  Walaupun sebelum ini, saya tidak pernah meminati ‘dunia komputer’  (kerana bagi saya ianya amat rumit untuk diterokai dan difahami), namun ‘terpaksa’ juga menyukainya. Biasanya saya ‘berperang’ dulu dengan suami untuk belajar perkara-perkara rumit begini…

Posted by: saripahbakar | July 17, 2007

Novel Yang Dinanti-nantikan…

Dalam Kehadiran Sofiah

Alhamdulillah, setelah sekian lama,  akhirnya ‘anak sulung’ saya ini lahir juga setelah lebih satu tahun ‘dalam kandungan’.  Begitu peritnya menulis novel ini.  Ianya umpama luka lama berdarah kembali.  Sepanjang masa menulis novel ini, saya menulis dengan air mata.  Mengenang kembali setiap detik yang berlaku, seperti mengguris parut luka yang tidak pernah sembuh.  Walaupun tidak semuanya tercatat di dalam novel tersebut (kerana ada perkara yang tidak sanggup lagi saya tulis dan sengaja saya lupakan), ianya cukup untuk menggambarkan kehidupan kami selama ini……… 

Akan cuba saya selitkan sedikit dari kandungan novel ini kelak… 

Categories